Tuesday 25 December 2012

Azam Tahun Baru....Mampukah Dilaksanakan...



Tirai 2012 semakin menghampiri ke penghujungnya dan tahun 2013 pula bakal menjenguk dengan pelbagai ragam yang tidak diketahui lagi kisah dan ceritanya.  Berakhirnya tahun 2012 bermakna bermulalah pelbagai azam yang akan dibuat oleh setiap individu yang bernafas di alam semesta ini. 

Ada yang berjaya memenuhi azam yang dibuat pada tahun sebelumnya dan berasa gembira diatas pencapaian yang diperolehi.  Namun ada juga yang tidak tercapai dan terus berazam di tahun baru agar segala kegagalan dapat diatasi dan pembaharuan dapat dilakukan supaya dapat menikmati kehidupan yang lebih bermakna lagi.

Begitulah lazimnya manusia sentiasa memperbaharui azam setiap menjelangnya tahun baru. Namun untuk melaksanakannya?   Hmmhh...rasanya lebih banyak tinggal azam atau impian di angin lalu berbanding mampu direalisasikan sebagai bukti ‘report card’ di hujung tahun.
Penceramah dan pakar motivasi, Datuk Mohd Zawawi Yusoh, berkata, khusus untuk lelaki mahu pun wanita, azam boleh dibahagikan kepada dua kategori yang boleh membawa kepada kesungguhan seseorang itu untuk mencapai keinginannya atau sebaliknya sekadar angan-angan dan tidak mengambil serius terhadap kehendak yang diimpikan.

Katanya dalam soal berazam, manusia perlu memainkan peranan tersendiri untuk mengecapi apa yang diidamkan dan ia memerlukan perancangan serta mengikut kemampuan dan bukannya nafsu atau ikutan.


“Ibarat menanam pokok, penjagaan dan perlindungan perlu diberikan dari awal mulanya menyemai benih. Jika pokok tidak disiram atau dibaja dan dibiarkan terdedah kepada ancaman, nescaya ia tidak mampu membesar dengan sihat.


“Begitu juga dengan berazam, ia perlu melengkapi beberapa faktor dan perancangan yang teliti bukannya sekadar bicara kosong untuk menyedapkan hati atau meniru,” jelasnya ketika dihubungi baru-baru ini.


Berkongsi pendapat, Mohd Zawawi menjelaskan matlamat yang ingin dikecapi seharusnya betul dan bagi umat Islam , mereka dinasihatkan untuk meminta bantuan Allah menerusi doa dan usaha. Mereka yang berazam juga perlu tahu keutamaan lakukannya mengikut keupayaan.


“Doa adalah pantulan kepada tindakan kita dan Allah sentiasa akan membantu mereka yang memerlukan bantuan dari-Nya. Berkat doa dan usaha, nescaya satu masa nanti akan terlaksana impian.


Menjelas lanjut mengenai matlamat tahun baru, beliau berpendapat berazam adalah seperkara yang elok yang mana ia mampu mendorong manusia bekerja keras demi mencapai kejayaan bahkan membawa kepada kehidupan yang lebih lengkap dan bermakna.


Namun, jelasnya pucuk pangkal kejayaan yang diimpikan adalah berlandaskan kemahuan diri sendiri untuk mengubah keadaan yang dilalui. Di samping itu, mereka yang berazam juga perlu jelas dan yakin.


“Ramai individu di luar sana mempunyai impian dan keinginan yang berbeza-beza setiap kali tahun baru muncul. Tapi, segala-galanya terpaksa ditangguh atau dibatalkan berikutan kegagalan untuk melaksanakannya. Perkara ini boleh berlaku kerana mereka kurang kepastian dan tidak memberi fokus kepada matlamat yang ingin dikecapi.


“Apabila berazam, anda perlulah senantiasa merancang dengan berhemah dan ia tidak semestinya perlu banyak dalam satu masa. Cuba lakukan secara beransur-ansur dan sepenuh hati.


“Dalam tempoh 365 hari, jika impian ditanam pada tahun lalu masih gagal anda masih boleh cuba lakukannya pada tahun hadapan. Cari punca dan kesilapan mengapa kegagalan berlaku dan ubah, nescaya ia mampu terlaksana,” katanya.


Selain itu, Mohd Zawawi juga berpendapat untuk melaksanakan impian yang ditanam, persekitaran juga memainkan peranan yang penting kerana tanpa dorongan dan semangat, manusia boleh lupa dan leka dek permintaan dari individu lain.


“Dalam melaksanakan matlamat, anda juga perlu bijak mengawal godaan dari sekeliling. Cari rakan-rakan yang mempunyai visi apatah lagi mereka yang lebih serius dalam mengecapi matlamat hidup.


“Sehubungan itu, cuba lakukan matlamat anda bermula dengan seperkara yang wajib, kecil, dekat dan mudah dulu. Amalkan kesungguhan dan latih dengan ketabahan merempuh cabaran serta lakukannya sebagai sebahagian dari keutamaan dalam kehidupan anda. Lama kelamaan anda akan terbiasa dan setiap matlamat yang diimpikan mampu tercapai,” katanya sebelum menamatkan perbualan.


Sementara itu, pensyarah, Faizul Rizal Mat Akhir, 35, berpendapat dalam soal menanam azam perlu ada kesabaran dan komitmen yang tinggi terhadap diri sendiri agar impian yang dicipta tidak hanya tinggal bayangan. Motivasi diri juga perlu dipertingkatkan agar tidak hilang semangat dan kegagalan bukanlah penghalang untuk terus berusaha.


Jelasnya, keinginan dan keperluan setiap individu adalah berbeza. Oleh demikian, manusia perlu jelas dan fahami apa yang diinginkan dan kehidupannya sebelum mula menanam impian.


“Dalam soal mencapai matlamat yang ditanam, kita perlu bertindak bijak untuk mencapainya. Komitmen memainkan faktor utama bagi mencapai apa yang diidamkan. Semangat dan kesungguhan pula perlu diteruskan agar kita tidak mudah mengalah dengan tarikan sampingan.


“Antara langkah mudah adalah kongsi azam anda dengan mereka yang terdekat. sebagai contoh bagi mereka yang sudah berkeluarga, boleh mendapatkan bantuan dari pasangan untuk sokongan dan galakkan. Apapun, kekuatan untuk meneruskan apa yang sudah dirancang untuk tahun baru adalah diri kita sendiri.


“Setiap azam yang diterapkan juga perlulah realistik dan bukanlah seperkara yang tidak logik. Biarpun ia mengambil tempoh yang agak panjang untuk dipenuhi, jika adanya kemahuan dan kesungguhan, impian yang disemai bukan lagi angan-angan,” jelasnya.

Tips azam dan kecapi impian tahun baru anda

1. Niatkan azam itu kerana Allah SWT.
Niatkan azam anda kerana Tuhan. Tanamkan kepercayaan bahawa Allah SWT mahu melihat anda berjaya dan anda menjadi bukti bahawa kejayaan bukanlah sesuatu perkara yang mustahil.

2. Anggap kerja keras ke arah pencapaian azam sebagai ibadat
Usaha memburu kejayaan sebenarnya satu ibadat. Bekerja dan berusaha untuk mencapai apa juga azam adalah cara untuk anda mendekati Tuhan. Tanpa niat, apa yang Anda lakukan tidak menjadi ibadat.

3. Tetapkan untuk kebaikan bersama
Apa juga yang anda mahu capai sebagai azam, niatkan untuk kebaikan bersama bukan untuk kepentingan peribadi anda seorang. Jika anda mahu menjadi suami cemerlang, niatkan untuk kebahagiaan isteri dan anak-anak. Jika mahu berjaya dalam perniagaan, niatkan kejayaan itu untuk kebaikan semua, bukan bangga kerana anda lebih berjaya daripada yang lain.

4. Elak dikuasai ego, elak rasa diri lebih bagus
Jangan tetapkan azam semata-mata untuk menunjuk-nunjuk atau bermegah. Azam bukanlah sesuatu untuk membuatkan anda dikagumi.

5. Tulis, Lekat, Baca, Ingat. (T.L.B.I.)
Tulis azam di atas kertas supaya minda anda menyerap apa yang ingin dikecapi. Lekatkan azam yang sudah ditulis di tempat senang hendak dibaca dan lakukannya berpuluh kali dalam sehari. Jika anda kurang selesa dengan cara ini kerana tidak ingin dilihat oleh orang lain, tulis di atas sekeping kad kecil lantas bawa kad itu bersama anda.

No comments:

Post a Comment